

"Mengajar merupakan proses pembelajaran "














Dalam hidup ini saya percaya setiap manusia mempunyai falsafah atau pemikiran tersendiri dalam hidup. Begitu juga saya sebagai seorang pendidik, falsafah yang telah saya tanamkan dalam diri adalah saya perlu mempunyai atau menguasai semua ilmu pengetahuan. Falsafah tersebut menjadi idea dan sumber inspirasi kepada saya untuk berusaha menjadi guru bukan sahaja menyampaikan ilmu di dunia malah ilmu berkekalan sehingga ke akhirat. Saya tidak melihat diri saya hanya sebagai seorang ‘pengajar’ atau ‘pemberi ilmu’. Hal demikian kerana bagi saya tugas seorang guru bukan sahaja hanya untuk menyampaikan ilmu, malah seorang guru juga haruslah bertanggungjawab sebagai pembentuk sahsiah dan disiplin anak muridnya supaya mereka dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat dan mempunyai masa depan yang cerah. Pada abad ke-21 ini, menjadi seorang guru bukan satu profesion yang mudah di mana saya perlu bijak mengawal keadaan persekitaran dan anak murid yang banyak terdedah dengan media massa yang mendatangkan banyak kebaikan dan keburukan.
Oleh itu, sebagai seorang guru falsafah saya yang pertama ialah saya mesti menguasai mata pelajaran yang saya ajar. Falsafah ini perlu dijadikan aspek yang paling utama dalam profesion sebagai seorang guru supaya anak murid saya mendapat ilmu yang relevan sesuai dengan mata pelajaran yang saya ajar. Saya sendiri perlu mempunyai asas yang kukuh dalam mata pelajaran tersebut supaya asas pengetahuan itu dapat disampaikan dengan baik kepada anak murid saya nanti. Saya percaya setiap pendidik perlu menguasai dan mahir dalam bidang yang diajarnya di sekolah nanti.
Falsafah seterusnya, mempunyai hubungan yang baik di antara para pelajar. Kita sudah sedia tahu bahawa di dalam setiap kelas mempunyai pelbagai latar belakang murid. Sesetengahnya ada yang bernasib baik dan ada juga yang kurang bernasib baik dari semua segi sudut seperti tahap kepandaian dan juga golongan keluarga. Oleh itu, saya haruslah mengenali murid-murid saya serta memberikan ilmu kepada pelajar secara sama rata tanpa melebihkan mana-mana pelajar dan memilih kasih. Hal ini amat penting kerana ilmu yang saya sampaikan itu adalah sama kepada semua pelajar yang saya ajarkan di dalam kelas itu. Maka, hubungan di antara saya dan pelajar perlu saya menitikberatkan sebaik mungkin supaya ilmu yang disampaikan itu masuk ke dalam setiap diri para pelajar dan mudah untuk mereka fahami serta hadam agar tiada pelajar yang menyimpan dendam atau benci terhadap guru-guru mereka.
Falsafah saya yang ketiga adalah menyeimbangkan diantara pembelajaran dan juga kokurikulum. Hal ini kerana pada abad ke-21 ini ramai pelajar yang cerdik pandai lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi. Maka, murid-murid banyak menghabiskan masa di dalam bilik dan kurang untuk menggiatkan diri serta aktif dalam bidang kokurikulum. Oleh itu, sebagai seorang guru saya akan memastikan dan mewajibkan anak-anak murid saya menyertai aktiviti kokurikulum atau aktiviti berpersatuan supaya dapat menghasilkan pelajar yang mempunyai kecergasan otak, minda dan fizikal yang cerdas supaya diri pelajar sentiasa berada dalam keadaan sihat sentiasa.
Falsafah saya yang terakhir adalah memandangkan saya seorang guru teknologi maka saya akan melibatkan anak-anak murid saya dengan pelbagai teknologi semasa. Hal ini disebabkan supaya anak-anak murid saya akan lebih terbiasa dengan teknologi sekarang dan mudah untuk mereka mengaplikasikan dalam kehidupan seharian mahupun pada masa akan datang nanti. Maka, apabila mereka sudah mempunyai asas dalam pengkomputeran atau teknologi mereka tidak akan lagi bergantung harapan pada sesiapa dan mereka pula akan berkongsi atau menolong rakan-rakan mereka yang lain.
Akhir kata, sebagai seorang guru perlulah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak murid kita kerana kita merupakan "role model" yang paling dekat kepada mereka semua. Dalam pada masa yang sama juga kita merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Oleh itu, apabila murid selesa dengan saya maka mereka mudah untuk meluahkan apa sahaja yang dipendam atau dirasai oleh mereka. Maka, saya sebagai guru harus menolong mereka dalam apa-apa bentuk kesusahan yang mereka hadapi lebih-lebih lagi pada abad ke-21 ini.
