Gejala Tekanan (Stress) terhadap pelajar semakin meningkat di negara ini.

Penularan penyakit berjangkit iaitu COVID-19 telah banyak memberi kesan terhadap negara dan masyarakat terutama sekali pada golongan pelajar. Kebelakangan ini, terdapat banyak laporan mengenai masalah tekanan perasaan dalam kalangan pelajar susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ada yang melihatnya sebagai hal remeh namun sebenarnya masalah tekanan perasaan adalah persoalan serius dan tidak benar untuk mengatakan ia sengaja diada-adakan atau mengada-ada. Oleh hal demikian, berdasarkan data dan analisis mengenai tekanan perasaan atau tekanan hidup itu ia sememangnya wujud dan perlu diberi perhatian. Ramai dalam kalangan individu yang berhadapan dengan masalah sebegini lebih cenderung membunuh diri berbanding berusaha mengatasinya. Keadaan ini menjelaskan mengapa bilangan kes membunuh diri adalah tinggi dalam kalangan remaja. Hal ini kerana ia telah dianggap sebagai jalan keluar kerana tekanan perasaan bukanlah perkara ringan yang mampu dilalui oleh seseorang. Tekanan dapat menguasai minda dan bagi sebilangan individu keadaan itu amat sukar untuk dilalui secara bersendirian.
Dalam konteks PdPR, amat mudah untuk kita sebagai guru fahami mengapa ia sering menjadi beban psikologi kepada sesetengah murid. Hal ini disebabkan oleh pembelajaran menerusi PdPR kerana PdPR ini adalah merupakan perkara yang baru kepada pelajar. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya belajar sendiri tanpa bantuan guru di depan mereka atau perkongsian ilmu dari rakan sekelas seperti kebiasaannya. Pergerakan mereka juga terbatas kerana perlu duduk di hadapan komputer dari pagi hingga petang untuk sesi pembelajaran. Keadaan ini memberi tekanan kerana rasa 'terkurung', tidak bebas bergerak dan kurang memahami apa yang dipelajari.
Selain itu ada sesetengahnya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ketiadaan peranti atau perlu berkongsi dengan adik beradik lain juga sebenarnya mendatangkan cabaran dan tekanan tersendiri. Mungkin ada segelintir ahli masyarakat yang lebih tua merasakan permasalahan tekanan sebegitu hal biasa dan generasi hari ini kelihatan lebih lemah atau lembik berbanding mereka ketika berada dalam lingkungan usia serupa. Sebenarnya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab anggapan yang sebegitu tidak elok kerana ia dapat memberi kesan kepada mereka. Maka, dalam konteks inilah kita tidak seharusnya mudah menyebut tekanan perasaan terjadi kerana generasi muda masa kini 'lembik' atau lemah. Ini kerana kita seharusnya menyedari PdPR itu adalah pembelajaran dalam talian yang belum dilaksanakan secara serius sebelum ini. Justeru memang terdapat potensi untuk seseorang itu berhadapan dengan gangguan mental jika mereka tidak berinteraksi dengan manusia atau rakan dalam tempoh yang lama.
Dalam hal ini, pihak sekolah juga harus berusaha memainkan peranan dengan memahami situasi yang dihadapi oleh semua pelajar. Pasti sahaja dalam sejumlah pelajar yang mengikuti PdPR terdapat murid yang tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. Selain peranti, masalah seperti capaian internet, ruang belajar yang selesa atau keadaan keluarga yang berantakan turut menyumbang kepada ketidakupayaan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian. Faktor itulah kemudiannya berpotensi untuk menjadi penyebab kepada tekanan.
Oleh itu, disini saya kongsikan salah satu cara yang boleh pihak sekolah atau guru aplikasikan kepada pelajar. Caranya adalah pihak sekolah terutama unit kaunseling perlulah mengadakan pemeriksaan psikologi berkala secara atas talian dengan membuat laman web pemeriksaan psikologi tujuan untuk melindungi data-data pelajar dan memudahkan guru kaunseling membimbing pelajar-pelajar yang perlu diberi perhatian. Seterusnya, guru IT Asas Sains Komputer dan Sains Komputer juga turut dapat membantu dalam kes tekanan ini dengan berkongsi ilmu pengetahuan tentang aplikasi-aplikasi yang menarik yang dapat membantu guru-guru yang lain dalam proses PdPR. Selain itu, menulis juga dapat mengelakkan tekanan terhadap pelajar. hal ini kerana dengan menulis ia dapat meluahkan perasaan yang terbuku di hati pelajar. Oleh itu, pihak sekolah terutama guru Bahasa perlu mengadakan program menulis cerpen tentang kehidupan bagi pelajar meluahkan apa yang dirasainya.
Oleh itu, disini saya kongsikan satu video yang telah saya kongsikan di laman you tube saya mengenai tekanan (stress) dan cara untuk mengatasai gejala ini. Saya berharap para pembaca mendapat sesuatu daripada perkongsian di blog saya ini. Terima Kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca.
Comentários