top of page
Search

REFLEKSI MENGENAI PENGALAMAN SAYA DALAM MEMBANGUNKAN LAMAN WEB 'PENDIDIK MAYA'

Writer's picture: anis zafirahanis zafirah

Updated: Jan 30, 2022


Gibbs' Reflective Cycle

Gambar rajah di atas adalah mengenai Kitaran Reflektif Gibbs, di mana kitaran ini telah dibangunkan oleh Graham Gibbs pada tahun 1988 untuk memberi struktur kepada pembelajaran daripada pengalaman. Kitaran ini merangkumi 6 peringkat iaitu penerangan (description), perasaan (feelings), penilaian (evaluation), analisis (analysis), conclusion (kesimpulan) dan pelan tindakan (action plan). Oleh itu, saya akan menggunakan kitaran reflektif Gibbs ini untuk membuat refleksi berkaitan dengan pengalaman saya dalam membangunkan laman web 'Pendidik Maya'. Tujuan menggunakan kitaran ini adalah untuk memudahkan saya menghasilkan refleksi yang baik.


Laman Web Pendidik Maya merupakan satu projek yang dihasilkan oleh 11 orang pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia dari jurusan Pendidikan Teknologi Maklumat. Tujuan utama laman web ini dibangunkan adalah sebagai one stop center kepada pengunjung terutamanya para guru dan pelajar. Justeru, laman web Pendidik Maya ini adalah untuk berkongsi ilmu, pengetahuan, pengalaman dan banyak lagi dari setiap pelajar. Memandangkan setiap dari 11 orang pelajar jurusan Teknologi Maklumat ini perlu mengambil kursus minor, maka dua orang dari 11 orang pelajar ini telah mengambil kursus minor dalam English selebihnya adalah kurus minor Bahasa Melayu. Oleh itu, ia telah memberikan satu alternatif atau peluang kepada kami untuk berkongsi ilmu selain dari Teknologi Maklumat di laman web ini iaitu berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman ketika mengambil kursus minor Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris. Oleh hal demikian, dalam laman web ini terdapat subjek Asas Sains Komputer, Sains Komputer, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Maka, ini dapat memudahkan guru dan murid untuk mendapatkan input yang berkaitan dengan pengajaran dari laman web Pendidik Maya ini. Di samping itu, laman web ini juga dapat membantu murid untuk menguasai lagi kemahiran serta meningkatkan lagi kefahaman murid kerana dalam laman web ini kami telah menyediakan aktiviti serta latihan pengukuhan.


Perasaan saya ketika membangunkan laman web ini adalah sangat teruja dan takut untuk menghasilkan laman web ini kepada pengguna. Hal demikian kerana saya sangat teruja untuk mempelajari perkara baru, memperolehi pengalaman baru serta berkongsi idea dengan rakan-rakan yang lain. Dalam pada masa yang sama juga, saya berasa sedikit takut jika kami tidak berjaya untuk menghasilkan laman web yang terbaik untuk pengguna. Akan tetapi saya bersyukur kerana mempunyai penasihat dan ketua yang sentiasa mengingati, memberi semangat serta keyakinan dalam menghasilkan laman web Pendidik Maya ini. Walaupun kami mempunyai sedikit halangan dalam perjumpaan secara bersemuka rentetan daripada pandemik COVID-19, tetapi ia tidak menjadi penghalang kepada kami untuk berbincang secara virtual. Maka, ini membuatkan saya lebih bersemangat dalam membangunkan laman web Pendidik Maya kepada pengguna.


Pada 15 Dis 2021, kami telah mengadakan mesyuarat yang pertama untuk pemilihan ketua, pereka grafik laman web dan pembahagian tugasan. Bagi jawatan ketua kami telah memilih Akma Nabila kerana beliau mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi dan sentiasa bersedia dalam apa-apa hal sekali pun. Jadi, kami percaya untuk memberi amanah kepada beliau. Seterusnya, untuk pereka grafik laman web pula kami telah memilih Hidayat dan Zarifah untuk mereka bentuk laman web Pendidik Maya ini. Kami memilih mereka kerana kami dapat melihat potensi serta bakat mereka dalam pengeditan dan pengetahuan mengenai wix. Maka, ahli-ahli lain yang selebihnya telah diberikan amanah untuk membangunkan kandungan berdasarkan topik-topik atau subjek yang telah dibincangkan ketika mesyuarat. Justeru, saya telah diberikan amanah untuk membangunkan kandungan mengenai Sains Komputer yang bertajuk penyulitan dan nyahsulit. Kandungan yang telah saya bangunkan ini adalah berdasarkan rujukan buku teks, sumber internet, pengetahuan sedia ada dan pengalaman saya dalam bidang Teknologi Maklumat. Saya percaya dengan kandungan yang telah dibangunkan oleh semua ahli ini akan dapat membantu guru mahupun murid di luar sana. Tidak lupa juga bahawa saya dan rakan saya Amy Najwa telah diberikan amanah untuk membuat penambaikan pada ruangan laman utama. Maka, daripada pengalaman dan perkongsian idea daripada pensyarah serta rakan-rakan yang lain telah banyak memberikan saya impak yang positif. Misalnya, saya dapat mengetahui apa itu RSS, bagaimana untuk memasukkan sesuatu fail, bagaimana untuk embed fail, meletakkan widget dan sebagainya. Oleh itu, secara tidak langsung tahap pengetahuan serta kemahiran saya dalam ICT dan penggunaan website Wix ini semakin meningkat.


Sejujurnya, saya berasa berpuas hati kerana dapat membangunkan laman web Pendidik Maya ini bersama rakan-rakan yang lain. Bagi saya, setakat ini laman web ini sudah cukup sempurna dalam menjadikan laman web ini sebagai one stop center. Hal ini kerana bahan-bahan yang terdapat di laman web ini kebanyakkannya berasaskan kepada pembelajaran pada abad ke-21. Oleh itu, ia mudah untuk difahami oleh murid-murid dan mereka tidak akan bosan dengan isi kandungan yang ada dalam laman web ini. Misalnya, kami menggunakan aktiviti dan latihan pengukuhan dalam bentuk permainan. Justeru, ini dapat menarik minat pelajar untuk belajar. Bagi guru pula, mereka boleh mengambil kandungan yang ada di laman web ini sebagai rujukan supaya PdP berjalan dengan lancar dan berkesan. Di samping itu, sepanjang membangunkan laman web ini, terdapat beberapa masalah yang saya hadapi antaranya adalah masalah ketika hendak membuat pengeditan atau meletakkan kandungan. Hal ini kerana website Wix ini hanya membenarkan seorang sahaja yang dapat mengeditnya dalam satu masa. Oleh itu, kami terpaksa untuk menunggu ahli yang lain siap untuk mengedit dibahagian mereka, maka ini telah menyukarkan kami untuk membangunkan laman web ini. Cadangan saya dalam masalah ini adalah membuat giliran dan menetapkan limit masa bagi setiap ahli untuk mengedit laman web ini. Cadangan lain adalah mengedit ketika waktu malam atau pagi di mana tiada orang yang mengeditnya. Seterusnya, sepanjang menyempurnakan laman web ini saya sangat bersyukur kerana mempunyai pensyarah yang sentiasa menyokong di belakang kami, memberi idea, nasihat dan semangat dalam membangunkan laman web Pendidik Maya ini. Begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain dimana sentiasa membantu saya dalam penggunaan website wix ini dan memberi idea yang bernas.


Secara kesimpulannya, terlalu banyak perkara yang saya pelajari ketika proses pembangunan laman web Pendidik Maya ini antaranya adalah saya dapat mempelajari bagaimana proses penggunaan website Wix ini. Kemudian, bagaimana untuk menghasilkan laman web pendidikan yang berkualiti. Misalnya, elemen-elemen yang terkandung di dalam laman web ini perlulah mengikut peredaran masa seperti PAK-21. Selain itu, saya juga belajar untuk menggunakan teknik CASPER semasa membangunkan laman web ini supaya dapat menghasilkan laman web yang menarik, berkesan dan dapat merangsang perhatian serta minat pengguna. Di samping itu, saya juga dapat mempelajari bahawa pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh memupuk kemahiran abad ke 21. Oleh itu, pada pendapat saya sebagai seorang guru Teknologi Maklumat projek ini sememangnya dapat menyumbang kepada pembangunan profesional saya dari segi kemahiran, belajar, berfikir, merancang, memperoleh maklumat, berkolaborasi dan sebagainya. Contohnya, saya dapat mengetahui bagaimana untuk memperoleh maklumat, membina dan menyediakan bahan-bahan atau elemen yang interaktif. Selain itu, laman web ini juga dapat mengasah dan menonjolkan bakat saya dalam ICT. Maka, ini dapat meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan saya dan rakan yang lain dalam bidang ICT terutamanya bidang ICT dalam pendidikan. Setelah beberapa minggu menyiapkan laman web Pendidik Maya ini saya dapat melihat bahawa laman web ini sememangnya mempunyai potensi untuk dikomersialkan. Hal ini kerana laman web ini merupakan satu langkah yang baik lebih-lebih lagi pada era teknologi sekarang untuk menggalakkan kemudahan dalam penggunaan internet, ICT, webcity dan sebagainya terhadap guru serta murid. Oleh kerana penggunaan pelbagai elemen yang menarik dalam laman web ini ia dapat membantu serta mendorong pemahaman dan minat murid dalam pembelajaran mereka. Maka, secara tidak langsung laman web Pendidik Maya ini dapat membantu guru dalam pengajarannya sekali gus dapat membantu murid di dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memperoleh ilmu. Bagi penambaikan pada masa hadapan, saya bercadang supaya kami perlu sentiasa mengemas kini laman web ini supaya kandungan yang ada dalam laman web ini selari dengan kandungan pengajaran dan pembelajaran yang akan datang. Seterusnya, saya juga bercadang untuk berkolaborasi bersama guru-guru yang pakar dalam sesuatu bidang atau guru diserata dunia untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan pengetahuan mereka dalam laman web Pendidik Maya ini. Secara tidak langsung guru dan pelajar dapat menambah ilmu berkaitan dengan negara luar. Justeru, ini dapat meningkatkan lagi potensi laman web ini ke peringkat antarabangsa.

11 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page